fb fb fb fb fb

Bas elektrik pertama di Perak beroperasi hari ini

(FOTO FB MPT)

TAIPING, 1 Ogos - Bas elektrik (EV) pertama di Perak mula beroperasi di Taiping hari ini.

Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woo berkata bas menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya itu disumbangkan oleh Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Beliau berkata, dengan adanya bas tersebut diharapkan dapat membantu Majlis Perbandaran Taiping (MPT) merealisasikan hasrat menjadikan Taiping sebagai bandar mesra alam semulajadi menjelang tahun hadapan.

(Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woo)

"Ini merupakan satu langkah yang amat penting apabila Taiping Bandar Warisan akan menyambut ulang tahun ke 150 tahun pada tahun 2024. Kita sedang berusaha bersama-sama majlis perbandaran dan juga agensi yang lain untuk memastikan bahawa sambutan pada tahun hadapan ini akan mencatat satu sejarah ataupun satu titik permulaan penting bagi bandar Taiping," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tiket Kenderaan Elektrik (EV) Bas MPT di hadapan Zoo Taiping & Night Safari, di sini.

Tambah Kah Woo, bas elektrik itu mampu memuatkan seramai 23 penumpang dalam sekali perjalanan.

Katanya, laluan Bas Elektrik MPT itu akan beroperasi sejauh 11.5 kilometer di tiga kawasan di sekitar bandar melibatkan Galeri Perbandaran, Menara Jam dan Raintree Walk.

Harga tiket bas tersebut ditetapkan RM20 bagi dewasa manakala RM10 dikenakan bagi warga emas, pelajar, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

Diskaun sebanyak 30% akan diberikan bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember ini.

Media Baharu