fb fb fb fb fb

CUEPACS harap kerajaan segerakan kenaikan imbuhan penjawat awam

FOTO BERNAMA

KOTA BHARU, 1 Ogos- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan mampu menunaikan permohonan supaya kenaikan terhadap imbuhan tetap penjawat awam dapat diberikan dengan kadar segera.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata langkah itu bagi memberi kelegaan kepada seluruh penjawat awam dalam bentuk wang boleh guna sementara menunggu suatu sistem saraan baharu dimuktamadkan.

Katanya, peningkatan itu sekurang-kurangnya bersamaan dengan kenaikan gaji khas yang diumumkan kerajaan pada 30 Ogos tahun lalu dan telah dilaksanakan pada Januari tahun ini.

“Kenaikan gaji tahunan khas sebanyak RM100. Jadi, harapan kami agar kenaikan imbuhan tetap yang akan diumumkan kerajaan hendaklah tidak kurang daripada RM100 tersebut.

Kami telah lihat munasabah kerajaan mengumumkannya kerana imbuhan tetap YAB Perdana Menteri sebut adalah suatu imbuhan tetap yang telah lama tidak dikaji oleh pihak kerajaan," kata Adnan kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Malaysia MADANI Dalam Perkhidmatan Awam Zon Timur Tahun 2023, di sini.


(FOTO BERNAMA)

Turut hadir, Pengerusi CUEPACS Negeri Kelantan, Aminuddin Awang.

Mengulas lanjut beliau berkata, Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) tidak dikaji sejak 10 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, Datuk Adnan turut berterima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan khas penghargaan secara "one-off" sebanyak RM300 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara.

Bantuan khas yang akan ditunaikan dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dapat memberi kelegaan terhadap penjawat awam dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Media Baharu