KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Dasar percukaian Malaysia perlu berlandaskan dua prinsip asas iaitu mengenakan cukai apabila ia benar-benar perlu dan ia tidak dianggap sebagai beban kepada pembayar cukai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata percukaian merupakan keperluan bagi memperkasa rakyat, selaras konsep Ekonomi Madani.
"Niat kita adalah menggalakkan mereka menjadi lebih produktif dan memberi sumbangan kepada negara. Bagaimanapun, untuk melaksanakan cukai seperti ini, institusi percukaian dan agensi terlibat mesti efisyen, bersih dan efektif," kata Anwar ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023, di sini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga perlu memastikan cukai yang dikutip dibelanjakan dengan bijak tanpa ketirisan.
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan kesemua menteri akan ditugaskan secara harian untuk mengumumkan dasar dan program yang dirancang di bawah konsep Ekonomi Madani.
Ini kerana kerangka ekonomi itu akan dijadikan asas bagi beberapa dasar spesifik lain yang dijadual diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.