fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak cadang tarik balik subsidi yuran pengajian

(FOTO BERNAMA)

SINTOK, 1 Ogos - Kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik subsidi yuran pengajian yang diberikan kepada penuntut tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Ini bagi memastikan peluang menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi terus terbuka luas.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan sangat komited dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada pendidikan dan tiada yang tercicir.

Katanya, banyak pendekatan yang dilakukan bagi tujuan itu, termasuk menanggung subsidi yuran pengajian.

"Misalnya kalau kita lihat contoh-contoh program-program pengajian ekonomi sebagainya kita dapat lihat , kos sebenarnya mungkin untuk empat tahun dalam RM70,000 hingga RM80,000. Tetapi di universiti awam RM2,000 hingga RM3,000. Kalau di Universiti Teknologi MARA (UiTM) semua program untuk satu semester hanya RM200, dua semester atau setahun RM400.

"Tetapi kos sebenar beribu-ribu ringgit. Kerajaan akan teruskan pemberian subsidi yang diberikan kepada pelajar tempatan yang menuntut di universiti-universiti awam," kata Khaled, di sini.

(Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap dalam sidang media
ketika membuat lawatan kerjake Universiti Utara Malaysia (UUM),
di Sintok yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan)

Khaled berkata kerajaan juga menyediakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada penuntut yang mahu menyambung pengajian dengan jumlah pinjaman sehingga RM3.5 bilion setiap tahun.

Beliau berkata secara keseluruhan seramai 10,000 pelajar mendapat pengecualian bayaran yuran di universiti awam dengan nilai keseluruhan RM30 juta bagi kemasukan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyeru universiti di negara ini merangka perancangan dan strategi masing-masing bagi menjayakan kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam melahirkan modal insan serta melaksanakan penyelidikan.

Beliau berkata setiap pelan kerangka ekonomi itu tidak mungkin boleh dicapai sekiranya universiti tidak berjaya melahirkan modal insan sebagaimana yang dikehendaki.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut melancarkan Program SULUNG peringkat UUM yang merupakan inisiatif diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40.

Media Baharu