fb fb fb fb fb

Jemaah haji perlu sentiasa jaga gelaran Dhuyufurrahman

SEPANG, 1 Ogos - Jemaah Haji diminta agar sentiasa menjaga gelaran Dhuyufurrahman atau menjaga kualiti status haji mereka selepas pulang ke tanah air.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, antara tanda haji diterima Allah SWT ialah perubahan akhlak kearah yang lebih baik dan perbuatan ini hendaklah berlarutan sehingga akhir hayat mereka.

"Saya juga mengharapkan para jemaah haji sendiri sentiasa berada dalam keadaan mengingati mereka bahawa mereka telahpun menunaikan haji dimana dengan itu mereka harus berada dalam kesegaran kemabruran haji tersebut sepanjang hayat mereka.

"Dan juga menjadikan objektif para jemaah haji dimana mereka akan balik menjadi orang yang lebih baik, menjadi orang yang lebih soleh dan musleh iaitu orang yang juga dapat memperbaiki lagi keadaan disekeliling mereka, itu yang kita harapkan," kata Syed Saleh, di sini.

(Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman ditemui media
selepas menyambut ketibaan pesawat terakhir yang membawa
284 jemaah Haji Malaysia yang selamat mendarat, di KLIA)

Selain itu, TH sentiasa komited dalam memastikan keselamatan jemaah semasa pergerakan melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, serta memastikan keselesaan bagi jemaah semasa berada di Tanah Suci selama lebih 40 hari.

TH juga akan sentiasa menambah baik perkhidmatan mereka, termasuk mendapatkan maklumbalas daripada para Jemaah bagi memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

Menurut Syed Saleh, pihaknya juga turut memberi maklum balas kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memperbaiki beberapa isu bagi memberi kemudahan kepada Jemaah haji akan datang.

Media Baharu