fb fb fb fb fb

Perkasa, tambah baik pendidikan TVET lahir graduan terlatih - PM

(FOTO FAIL)

KUANTAN, 1 Ogos - Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu bagi melahirkan graduan lebih terlatih sekali gus menikmati gaji lebih baik.

Walaupun peratusan lulusan TVET mendapat pekerjaan tinggi, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan gaji diterima graduan berkemahiran berkenaan, yang secara umumnya masih di bawah RM2,000 berbanding pekerja TVET luar negara, yang menikmati gaji lebih baik.

(Datuk Seri Anwar pada Program Temu Anwar Kuantan di Kolej Kemahiran
Tinggi MARA (KKTM))

"Sekarang ini lulusan TVET 95% ke 98% dapat pekerjaan tapi gajinya RM2,000 ke bawah. Umumnya saya tidak puas hati kerana sasaran kita, lulusan TVET dan institusi kemahiran seperti IKM, Giat Mara sepatutnya mencecah lebih RM2,500 hingga RM3,000.

"Untuk itu, saya minta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemukakan cadangan untuk perbaiki," katanya.

Anwar berkata demikian pada Program Temu Anwar Kuantan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Tambah Anwar, cadangan menambah baik latihan dan kemahiran TVET juga pernah disuarakan beberapa pemain industri termasuk Tesla Sdn. Bhd. pada perbincangan yang berlangsung sebelum ini dengan mencadangkan beberapa elemen tambahan kepada pendidikan kemahiran itu.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta untuk membaiki semua kerosakan infrastruktur di institusi MARA dan TVET di seluruh Pahang.

Media Baharu