fb fb fb fb fb

Bas ekspres terbalik, 26 penumpang selamat

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Pemandu bas ekspres dan 26 penumpang berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi, bas ekspres dua tingkat itu membuat perjalanan daripada Ipoh, Perak menuju ke Singapura.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Hang Tuah , PBK II Md Izzat Ahmad berkata seramai 18 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 12.17 pagi tadi.

"Mereka dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sentul bersama dua jentera pemadam api (FRT) dan dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

(Keadaan bas ekspres yang terbabas lalu terbalik di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar, tengah malam tadi)

Katanya, pasukan bomba bertindak memecahkan tingkap hadapan bas untuk mengeluarkan mangsa.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, tugas seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Media Baharu