fb fb fb fb fb

Barisan kabinet gambarkan nilai toleransi, kebersamaan

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Pembentukan kabinet baharu jelas menggambarkan nilai toleransi dan kebersamaan dengan mengetepikan kepentingan blok yang biasanya menjadi induk kepada pemilihan jemaah menteri.

Tumpuan kini terarah kepada usaha membawa perubahan dan suara rakyat seiring gagasan yang dibawa kerajaan perpaduan demi keharmonian rakyat dan kemakmuran negara.

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr Sivamurugan Pandian berpendapat prestasi dan kecemerlangan perlu menjadi keutamaan kerajaan perpaduan dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspirasi rakyat.

"Konsolidasi elit politik membolehkan kita melihat bagaimana asimilasi wujud dalam politik keupayaan untuk mereka yang mempunyai kerusi yang banyak dan yang kecil mampu bersama dalam kabinet ini.

"Kabinet ini saiznya kecil tetapi padat dengan kepakaran, ketokohan keupayaan untuk menjadi satu pasukan yang mantap jika diberikan masa.

"Maka saya percaya apa saja yang mahu dilaksanakan itu mampu direalisasikan. Cuma dalam soal kabinet ini kita harap Jemaah Menteri ini akan melihat bagaimana untuk meredakan suhu politik. Memberi keutamaan kepada kedamaian politik agar koordinasi dengan kementerian agensi berwajib dapat melihat hasil akhir yang baik untuk rakyat," kata Sivamurugan kepada RTM.

(Prof. Dr Sivamurugan berkata barisan kabinet gambarkan nilai toleransi, kebersamaan)

Menurut beliau prestasi yang cemerlang mampu diraih dengan mengekalkan momentum kerjasama yang baik dalam usaha merakyatkan kepimpinan agar stabiliti kerajaan perpaduan diperkukuh.

Jelasnya lagi, masyarakat akan terus menjadi pemerhati serta menilai sama ada pentadbiran kali ini benar-benar mampu membawa perubahan yang diharapkan.

Bagi penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat pula, secara keseluruhan barisan kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim ini merupakan satu kejayaan dengan menampilkan variasi kaum, kepelbagaian negeri dan tiada dominasi jantina.

"Yang menarik sekali antara lima orang menteri wanita yang dilantik, tiga diletakkan untuk jawatan yang sebelum ini pernah dipegang oleh menteri lelaki iaitu kesihatan serta belia dan sukan.

"Untuk memastikan kestabilan politik yang begitu penting untuk pembangunan ekonomi kita, semua gabungan parti dalam kerajaan campuran harus menandatangani dan memaparkan perjanjian kerajaan campuran untuk berlangsung selama lima tahun agar kerajaan ini tidak tergugat dengan sebarang perubahan pimpinan parti," kata Wong.

Di sebalik barisan kabinet yang inklusif, kerajaan juga perlu menilai semula badan perundangan agar bebas daripada campur tangan kerajaan.

Aspirasi rakyat yang menuntut kerajaan bersih dan bebas rasuah dianggap gagal sekiranya masih terdapat pemimpin yang korup dan terpalit tuduhan rasuah menerajui kerajaan.

Beliau juga turut mencadangkan agar sebuah jawatankuasa khas di setiap kementerian ditubuhkan dalam parlimen bertujuan memantau dan memberi input sekali gus memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan para menteri yang memegang portfolio cemerlang tetapi tidak tersenarai dalam barisan kabinet.

(Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan
Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri Persekutuan/BERNAMA)

Media Baharu