fb fb fb fb fb

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Perak

(Mayat lelaki tempatan terapung di Sungai Perak)

TELUK INTAN, 4 Disember- Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan terapung di perairan Sungai Perak, Permatang Pelanduk, Labu Kubong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basir berkata mangsa ditemui kira-kira pukul 2.00 petang dalam keadaan tertiarap dan tersangkut di rumput air tepi sungai.

Ujar beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan keadaan mayat yang kembung menyukarkan proses pengecaman.

Ahmad Adnan berkata mayat dikenal pasti sebagai seorang lelaki dewasa warga tempatan berdasarkan parut suntikan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) di lengan sebelah kiri.

“Mayat dikenal pasti sebagai lelaki warga tempatan berdasarkan parut suntikan BCG di lengan sebelah kiri. Mangsa dianggarkan berusia 40-an.

“Mayat tersebut berkulit gelap dan bertubuh sederhana besar dengan ketinggian 170 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Al-Ikhsan Borhan atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-6233969.

(Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta
tampil beri keterangan)

Media Baharu