fb fb fb fb fb

Barisan exco Melaka bakal cerminkan Kerajaan Perpaduan - Ab Rauf

(Ab Rauf Yusoh)

KLEBANG, 2 April- Pembentukan kerajaan negeri Melaka akan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) selaras dengan konsep Kerajaan Perpaduan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penglibatan ADUN PH itu bakal menjadikan struktur kerajaan negeri Melaka lebih menarik, selain menonjolkan perpaduan dalam kalangan Barisan Nasional (BN) dan PH, sama seperti di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu bagaimanapun hanya akan di umumkan selepas mendapat persetujuan daripada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita berbeza dengan kaedah di Pahang dan Perak yang merupakan sebuah kerajaan dibentuk bersama, tetapi di Melaka sungguh pun tidak dibentuk kerajaan bersama, namun kebersamaan itu akan menampakkan satu contoh perpaduan yang amat baik.

"Kita akan memberikan kesamarataan di dalam pembentukan ini (kerajaan negeri Melaka). Insya Allah, saya beritahu (barisan exco), tapi ia amat cantik dan menarik," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Klebang di sini.

Beliau turut berharap rakyat Melaka dapat bersabar dalam menanti pengumuman senarai exco itu.

(Ab Rauf Yusoh melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Klebang di Melaka)

Artikel berkaitan:
Barisan exco Melaka harus menggambarkan Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

Media Baharu