fb fb fb fb fb

Buruh Bangladesh maut jatuh Sungai Nenggiri

GUA MUSANG, 2 April- Seorang buruh warga Bangladesh ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Nenggiri ketika bekerja di tapak projek Hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Star, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 12.00 tengah hari itu, mangsa yang lemas dikenali sebagai Md Kashem Sikdar, 35.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai tersebut ketika melakukan kerja memanjat besi paip.

Mayat mangsa ditemukan 40 minit kemudian selepas berjaya dibawa naik ke darat menggunakan sebuah sampan.

"Semasa kejadian, mangsa memakai pakaian dan peralatan keselamatan ketika bekerja.

(Foto ihsan PDRM)

"Walaupun usaha menyelamat sukar dilakukan berikutan arus sungai yang deras, namun mayat mangsa dijumpai pada 12.40 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kejadian tersebut sempat dilihat oleh seorang penyelia.

Tambah beliau, siasatan di tempat kejadian menunjukkan tiada unsur jenayah berlaku dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses selanjutnya.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Media Baharu