fb fb fb fb fb

Bantuan RM1,000 untuk jemaah haji, perumahan untuk semua antara 50 Manifesto Perpaduan Pulau Pinang

(Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan Pulau Pinang, di Pusat
Konvensyen PICCA Butterworth Arena  malam tadi)

BUTTERWORTH, 2 Ogos- Bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari golongan B40,memperkenalkan Skim Rumah Sewa Khas kepada golongan belia, dan sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA.

Itu antara 50 manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 yang dibentangkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Perpaduan negeri, Zairil Khir Johari yang membuat pembentangan itu, berkata secara keseluruhan terdapat 50 manifesto yang merangkumi 16 tema utama.

Antara yang menjadi fokus ialah menyalurkan bantuan 'one off' RM1,000 kepada setiap jemaah haji golongan B40 di bawah tema 'Syiar Islam Terus Dipertahankan Berteraskan Kerangka Malaysia Madani'.

Menerusi tema 'Cakna Kebajikan Rakyat' pula, pasangan yang mendirikan rumah tangga menerima bantuan 'one off' RM500 di bawah Program Mempelai Emas.

Kedua-dua manifesto itu antara inti pati terbaru yang diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua manifesto berkenaan membuktikan kerajaan Perpaduan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat

"Yang pastinya manifesto ini akan memperkasakan lagi negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih gemilang dengan memastikan rakyatnya terus hidup dalam suasana aman, harmoni berlandaskan kehidupan berkualiti," katanya.


(Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow)

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan negeri, di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam tadi.

Kata Kon Yeow , 16 tunjang utama dalam manifesto yang diperkenalkan itu bagi memperjuangkan nasib rakyat sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir sekali lagi Pulau Pinang.

"Kita sentiasa memikul amanah yang diberikan, memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosio ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan," ujarnya.


Media Baharu