KUANTAN, 9 Julai -Kraftangan Cawangan Pahang terus komited membantu usahawan kraf di negeri itu sebagai sokongan agar para usahawan dapat melestarikan produk mereka dengan lebih baik.
Terbaharu, seorang usahawan batik kraf dari Felda Bukit Goh diberikan alatan mesin jahit bagi membantu menjahit pakaian dan cenderamata berasaskan batik.
Pengarah Kraftangan Negeri, Juhari Azmi berkata, pihaknya sentiasa mendorong usahawan kraf yang berpotensi besar dalam pasaran negara ini.
"Pihak Kraftangan Malaysia bukan sahaja melahirkan usahawan, tetapi turut menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif bagi merangsang mereka agar terus berdaya maju dalam industri kraf." katanya.
Sementara itu, bagi usahawan batik, Norashikin Awang Ahmad berkata, mesin jahit yang diterima amat membantu meningkat produktiviti, selain membantu komuniti untuk belajar menjahit.
"Tempat ini memang disediakan khas untuk komuniti yang ingin belajar menjahit atau menghasilkan produk mereka sendiri untuk dijual. Saya sengaja tinggal di sini dan membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang ingin datang dan menggunakan mesin yang ada – saya benarkan dengan terbuka." ujarnya.
Norashikin turut menerima bantuan SEJATI MADANI, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada lima orang anak peneroka Felda untuk menjana pendapatan.