PENDANG, 17 Januari - Sebanyak RM155,000 disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Amal Solehah (RAYAS), Pendang dan beberapa pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Bantuan kewangan khas itu adalah untuk keperluan semasa dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang pada masa hadapan.
Bantuan disampaikan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim.
"Saya berharap, sumbangan tersebut dapat membantu RAYAS dan NGO terlibat dalam menganjurkan program berkenaan yang dapat membangunkan modal insan yang terbaik kepada masyarakat," kata Awang Hashim selepas menyampaikan sumbangan tersebut di Rumah Anak Yatim Amal Solehah (RAYAS) di sini.
Dalam ucapannya beliau turut mengingatkan anak-anak yatim di rumah berkenaan supaya tidak menjadikan situasi yang dilalui ketika ini sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh agar dapat melakar masa depan yang lebih cerah.
RAYAS yang ditubuhkan pada tahun 2012, menempatkan bangunan dua buah asrama lelaki dan perempuan yang berumur 7 hingga 12 tahun, terdiri anak-anak yatim dan miskin.