BATU CAVES, 17 Januari - Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang hari ini menjelang perayaan itu esok
Tinjauan wartawan RTM mendapati penganut Hindu mulai hadir bagi menunaikan nazar dan sembahyang.
Selain penganut Hindu, kuil tersebut turut dikunjungi individu pelbagai latar belakang.
Menurit Pegawai Informasi Pejabat Batu Caves K. Tamilvaani pihaknya menerima kehadiran pengunjung seawal Sabtu lalu.
"Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja-kerja sanitasi akan dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan," katanya.
Keadaan bagaimanapun adalah terkawal dengan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Berbeza sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka di perkarangan kuil.
Bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi, hanya 500 orang dibenarkan masuk ke kawasan kuil pada satu-satu masa.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan 1,500 anggota polis ditugaskan memantau keadaan.
"Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terlibat dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan," kata Arjunaidi.