fb fb fb fb fb

Bantuan banjir di Baling dipantau supaya tidak berlaku kelewatan

KUALA LUMPUR, 10 Julai- Kerajaan sedang memantau pelaksanaan bantuan yang diumumkan sebelum ini kepada penduduk terjejas banjir di Baling, Kedah terutama bantuan baik pulih rumah yang rosak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemantauan itu bagi memastikan tidak berlaku kelewatan khususnya bantuan membabitkan pembaikan rumah.

“Selepas banjir berlaku petang itu, pagi esoknya kita umum beri bantuan tunai kepada mereka tetapi yang penting adalah rumah, apabila roboh perlu disegerakan sama ada pembinaan baharu atau baik pulih rumah.

Tempat tinggal itu yang paling penting selain bantuan kewangan,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Pada 5 Julai lepas, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pemberian bantuan awal kepada 1,490 penduduk terjejas banjir membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR).

Ia melibatkan bantuan awal berbentuk wang ihsan RM1,000, bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 serta pembaikan rumah.

Media Baharu