MINA, 10 Julai- Kesemua 14,306 jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan ibadat wajib melontar Jamratul Kubro yang perlu dilaksanakan pada 10 Zulhijjah, semalam.
Jemaah negara melakukannya pada pukul 8.00 malam dan selesai mengikut waktu ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad berkata memandangkan masih ada tiga hari Tasyrik untuk jemaah melakukan ibadat melontar ketiga-tiga jamrat iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusto dan Jamratul Kubro, jemaah dinasihati untuk sentiasa menjaga kesihatan dan mempersiapkan mental dan fizikal menghadapi ibadat lebih mencabar di Mina.
"Kerana ia melibatkan perjalanan sejauh 10 kilometer dari khemah ke jamrat dan balik semula ke khemah. Bermakna pergi lebih kurang 5 kilometer, balik pun 5 kilometer. Dan saya menyarankan agar setiap jemaah haji untuk memberikan perhatian kepada setiap arahan yang diberikan oleh petugas haji serta mengikut waktu melontar yang telah ditetapkan demi untuk keselamatan," ujar beliau selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan TH Shishah di sini, semalam.
Sementara itu kesemua jemaah negara berjaya menyelesaikan rukun haji terpenting iaitu berwukuf pada 9 Zulhijjah, termasuk 26 jemaah yang dirawat di Pusat Rawatan TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad
Menerusi pelaksanaan ‘safari wukuf’ yang mula diperkenal pada 2016, jemaah-jemaah yang sakit turut berpeluang melengkapkan ibadah haji mereka di Arafah.
Empat buah bas khas disediakan untuk membawa jemaah terlibat dari Pusat Rawatan ke Arafah dengan diiringi 68 petugas TH dan 22 pembantu.
Sehingga kini, 33 jemaah masih menerima rawatan dengan 32 di Pusat Rawatan TH dan seorang di Hospital Arab Saudi.