JOHOR BAHRU, 30 Januari- Tiada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang terjejas meskipun terdapat beberapa negeri yang terkesan dengan banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata semua urusan dan perjalanan pelajar ke pusat peperiksaan di setiap negeri berjalan dengan lancar.
"Setakat laporan sehingga pagi ini, perjalanan dan juga pengelolaan SPM di seluruh negara tidak ada masalah, jadi tidak ada isu murid-murid kita yang terjejas untuk akses ke pusat-pusat peperiksaan. Walaupun ada kawasan-kawasan tertentu di beberapa negeri masih dilanda banjir," katanya kepada pemberita selepas melaksanakan tinjauan sempena hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Tun Fatimah,di sini.
Tambahnya, seramai 395,870 calon SPM sedang menduduki peperiksaan itu di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
95 mata pelajaran akan diambil melibatkan 180 kertas dengan pengendalian petugas peperiksaan berjumlah seramai 129,635 orang.