fb fb fb fb fb

Banjir terkini: 12 buah sekolah di Terengganu ditutup sementara

Salah sebuah sekolah di Terengganu dinaiki air

KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 12 buah sekolah di empat daerah di negeri ini ditutup sementara bermula hari ini selepas dinaiki air.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Azman Othman ia melibatkan ketiga-tiga daerah di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut.

Katanya, 10 sekolah yang ditutup kerana banjir di Kuala Terengganu ialah SK Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh, SK Losong, SK Kampung Bukit Chendering, SMK Bukit Besar, SMK Sultan Mansor, SMK Sheikh Abdul Malek dan SK Bukit Bayas.

Manakala di Besut, Sk Bukit Puteri dan SMK Padang Kemunting di Kuala Nerus.

"Semua dibenarkan ambil cuti bencana sebab kawasan sekolah ditakungi air dan tak selamat untuk proses pembelajaran. Banyak kawasan sekolah terutama di blok bawah ditenggelami air sekurang-kurangnya 0.5 meter," katanya kepada RTM.

Sementara itu, dua buah sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu SK Chendering dan SK Atas Tol dibenarkan mengambil cuti bencana kerana menerima ramai bilangan penduduk terjejas banjir.
 
Sebanyak 18 buah kelas, sebuah dewan dan bilik seni terpaksa digunakan di SK Atas Tol yang menempatkan 278 orang penduduk terjejas.
 
Manakala di PPS SK Chendering, sebanyak 10 buah kelas dan sebuah dewan digunakan oleh seramai 172 penduduk yang dipindahkan.
 
Menurut Azman, sekolah yang terkesan banjir dan PPS yang ramai perpindahan penduduk terjejas banjir atau menggunakan bilik darjah yang banyak disyorkan memohon cuti bencana.

GRACE AISYAH KEDAYAN