fb fb fb fb fb

7,616 graduan UPSI terima ijazah, diploma pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-25

Dewan Tuanku Canselor/UPSI

TANJUNG MALIM, 21 November- Seramai 7,616 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima ijazah dan diploma masing-masing, termasuk seorang secara anumerta pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-25 institusi bersejarah itu bermula esok hingga 29 November ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, majlis akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini.

Konvokesyen kali ini akan menganugerahkan skrol pendidikan tertinggi merangkumi 121 Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma dan 916 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

Pada sesi pertama pagi esok, beliau memaklumkan, Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim akan merasmikan majlis istiadat.

"Tuanku Zara akan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuklah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah dari tokoh dan pemain industri," katanya dalam kenyataan.

Anugerah Pelajaran Diraja akan dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian.

Pada sesi pertama juga, Tuanku Zara akan turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Universiti kepada Tan Sri Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Ismail Bakar berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1983, kemudian menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1995, seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada tahun 2004 di universiti sama.

"Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, beliau pernah memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan dan yang terakhir, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara bermula pada Ogos 2018 sehingga Disember 2019," katanya.

Tambah Md Amin, konvokesyen UPSI ke-25 itu turut menandakan sambutan Jubli Perak bagi universiti berkenaan.

Tahun lalu, UPSI menyambut 100 Tahun penubuhan bermula era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), seterus dinaik taraf kepada UPSI pada 1997.

SITI AISHAH BINTI MD ISA