fb fb fb fb fb

Banjir: Semua balai polis di Kelantan dalam 'mood' siap sedia

FOTO POLIS KELANTAN

KOTA BHARU, 21 November- Polis Kelantan mengarahkan semua balai polis daerah agar sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan situasi banjir.

Ketua Polisnya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, arahan itu dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan peringkat buruk dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi beberapa daerah di negeri itu bermula hari ini sehingga Jumaat.
 
"Arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Balai serta pasukan pemantau untuk sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti mudah dinaiki air.

"Sehingga pukul 6.00 petang tadi, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Pasir Puteh membabitkan 178 penduduk daripada 46 keluarga," katanya dalam kenyataan.

Muhamad Zaki berkata, punca pemindahan di daerah itu adalah disebabkan saliran tersumbat yang tidak dapat menampung hujan berterusan.

Secara keseluruhan, keadaan cuaca hujan di semua daerah dan trend paras air sungai berada pada paras normal kecuali Sungai Semerak Jambatan Melor di Bachok merekodkan paras waspada iaitu 7.9 meter.

Sementara itu, semua jalan utama masih boleh dilalui, serta keadaan semasa adalah baik dan terkawal.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan sentiasa patuh pada arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama melibatkan arahan untuk berpindah.

SITI AISHAH BINTI MD ISA