DUNGUN, 17 Mac- Banjir melanda beberapa buah negeri tahun lalu merekodkan kerugian keseluruhan hampir RM1 bilion.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menilai jumlah sebenar kerosakan akibat bencana tersebut.
Beliau berkata kerugian tersebut membabitkan aset awam dan infrastruktur, kediaman, pertanian, premis perniagaan, kenderaan dan pembuatan.
"Secara kasar kita menggangarkan kerosakan keseluruhannya mungkin hampir RM1 bilion. Ini termasuk kerosakan utama infrastruktur dan ini sedang dijalankan pembaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), bagi jalan-jalan persekutuan dan jalan-jalan di luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Manakala untuk pembaikan rumah dan sebagainya pengagihan kepada mangsa-mangsa banjir telah diagihkan oleh NADMA kepada pihak negeri dan daerah kepada jawatankuasa banjir negeri dan daerah", katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah KKDW ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Bilal Shah, Dungun.
Turut hadir Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Noraini Ahmad, Pengerusi KETENGAH Datuk Seri Dr Ahmad Said serta Pengurus Besar KETENGAH Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan RM810,000 kepada 2,700 asnaf, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit terlantar.
Selain, bantuan RM90,000 kepada masjid dan surau di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta bantuan RM180,000 kepada 600 anak yatim terpilih.
Terengganu negeri ketiga Jelajah Santunan Kasih Desa selepas Johor dan Kelantan.