fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di lima negeri meningkat

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang mencatatkan peningkatan setakat pukul 7 malam tadi.

Dianggarkan lebih 43,000 penduduk terjejas di lima buah negeri.

Terengganu merekodkan angka tertinggi dengan jumlah penduduk terjejas kini lebih 23,000 orang yang berlindung di 267 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Hulu Terengganu masih menjadi daerah paling terkesan sementara Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu yang terjejas sekali gus menjadikan keseluruhan lapan daerah di negeri itu terlibat dengan banjir.

Sementara itu, di Kelantan, penduduk terjejas meningkat kepada 20,343 orang yang berlindung di 122 PPS setakat pukul 7 malam tadi.

Ini melibatkan 5,703 keluarga di sembilan daerah.

(FOTO FAIL)

Berdasarkan Laman Web Rasmi public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),10 sungai di negeri itu mencatatkan aras melebihi tahap Bahaya antaranya Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Lanas (Jeli) Sungai Lebir ( Kuala Krai), dan Sungai Golok (Tanah Merah).

Pahang turut merekodkan peningkatan dengan 709 penduduk terjejas daripada 179 keluarga.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, Kesemua mereka berlindung di sembilan PPS di daerah Raub dan Kuantan.

Tiga PPS beroperasi di Raub dan enam di Kuantan.

Manakala di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan penduduk terjejas di Segamat kekal 75 orang setakat 4 petang tadi.

Kesemua mereka daripada 21 keluarga itu masih ditempatkan di tiga PPS iaitu di Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.

Sementara di Perak, penduduk terjejas meningkat kepada 54 orang daripada 17 keluarga.

Setakat pukul 4 petang tadi, dua PPS beroperasi iaitu PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk menempatkan 26 penduduk.

Manakala di Hilir Perak, PPS Dewan SMK Abdul Rahman Taib Batu 4 kekal menempatkan 28 penduduk.

Media Baharu