fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Pengarah Bomba Selangor dimasukkan ke hospital akibat keletihan

(Siaran media JBPM Selangor)

SELANGOR, 19 Disember- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali dimasukkan ke Hospital Selayang akibat keletihan dan angin ahmar ringan, hari ini.

Pusat Gerak Operasi JBPM Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, Norazam dimasukkan ke hospital itu pada pukul 6.00 petang, namun keadaan beliau terkawal.

"Keadaan Norazam terkawal dan masih sedarkan diri.

"Sama-samalah kita doakan agar kesihatan beliau segera kembali pulih," menurut kenyataan.

Norazam terbabit dalam operasi SAR di tapak lokasi bencana itu sejak awal tragedi tanah runtuh berkenaan berlaku pada Jumaat lalu.

Operasi SAR itu kini masuk hari keempat dengan 24 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala sembilan lagi masih hilang.

"Operasi mencari sembilan mangsa hilang tetap akan diteruskan," menurut kenyataan.

Operasi SAR diteruskan melibatkan pelbagai pihak antaranya JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang giat meneruskan pencarian di lokasi tanah runtuh sejak pukul 8 pagi tadi.

Selain itu, sebanyak 11 unit anjing pengesan (K9) iaitu enam milik JBPM, empat milik PDRM dan satu milik ATM digunakan dalam operasi SAR.



(Norazam Khamis/BERNAMA)

Media Baharu