fb fb fb fb fb

Hampir 20,000 penduduk terjejas banjir di Terengganu

MARANG, 19 Disember- Seramai 19,849 penduduk terjejas banjir di Terengganu berada di 249 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 6.00 petang tadi.

Daerah Besut di Terengganu dilaporkan mengalami banjir teruk daripada lapan daerah di negeri itu ketika ini dengan 5,176 penduduk terjejas banjir ditempatkan di 83 PPS.

Tujuh daerah lain yang terjejas akibat banjir di negeri itu ialah Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata keadaan itu menyukarkan pihaknya untuk mendapatkan akses bagi memasuki ke kawasan terjejas di daerah berkenaan.

"Buat masa ini tiada apa-apa kesukaran yang dihadapi, cuma kita terputus hubungan di Besut. Kita tidak dapat ke sana menggunakan jalan darat. kita terpaksa menggunakan kaedah lain untuk pergi ke kawasan pedalaman," katanya kepada pemberita di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.

Ahmad Izram sempat meninjau kawasan terjejas banjir melalui udara di sekitar kawasan Hulu Terengganu melibatkan anggota JBPM dan pengamal media termasuk RTM.

(Banjir di Terengganu)

Media Baharu