(Fahmi Fadzil)
KUALA LUMPUR, 19 Disember- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa mengemaskini status capaian internet dan rangkaian telekomunikasi di kawasan terjejas banjir melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata langkah itu penting bagi memastikan tiada sebarang capaian internet dan rangkaian telekomunikasi terjejas di kawasan terbabit terutama di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Hampir setiap jam akan berhubung dengan SKMM untuk bertanya apakah status capaian akses internet di PPS.
"Saya lihat yang penting waktu ini adalah pastikan jaringan telekomunikasi tidak tergendala dan sekiranya ada, maka pihak SKMM perlu bertindak segera untuk memastikan masalah itu dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan lima negeri terjejas banjir, setakat ini melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Perak.
(Foto fail)