fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Jitra terpaksa berpindah

JITRA, 27 SEPTEMBER- Sebahagian penduduk Kampung Paya Tok Teh di Mukim Malau, Jitra terpaksa berpindah selepas kediaman mereka mula dinaiki air pagi tadi.

Tinjauan RTM di kampung berkenaan mendapati, beberapa buah rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah dan berdekatan sungai serta sawah padi telah dimasuki air.

Penduduk terlibat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), rumah ahli keluarga dan sanak saudara terdekat.


(Antara rumah penduduk Kampung Paya Tok Teh di Mukim Malau, Jitra yang terjejas banjir)

Seorang penduduk, Nur Masikah Idris, 31 tahun berkata, air naik dengan cepat sejak pukul 7.00 pagi.

“Saya mula tengok keadaan tersebut pada pukul 7.30 pagi, air naik, mula daripada belakang sana, kira-kira dalam masa setengah jam, cepat juga. Kami pun mengemas dengan segera. Barang-barang semua kami angkat pindahkan. Yang mana tidak boleh diangkat, kami tinggalkan di sini. Ini kejadian banjir kali kedua dalam tempoh tiga tahun saya tinggal di sini", katanya ketika ditemui RTM.

Sementara itu, seorang warga emas, Jamaluddin Abd Rahman, 73 tahun berkata, ketika kejadian, hanya beliau dan isteri berada di rumah.

Katanya, air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 8.00 pagi.

“Pukul 8.00 pagi air hampir naik secara perlahan-lahan sampai ke sini. Saya lihat seperti air hendak naik. Barang-barang telah diangkat ke atas, mungkin selamat", katanya.

Selain kediaman penduduk, banjir turut menyebabkan kawasan pertanian termasuk sawah padi yang sudah hampir masak dan menunggu masa untuk dituai serta kebun getah ditenggelami air.

Media Baharu