fb fb fb fb fb

Projek penyelenggaraan kecil KPM siap sepenuhnya Oktober ini

(Tandas Sekolah Kebangsaan Tedong dalam penyelenggaraan/Foto ICU JPM)

PUTRAJAYA, 27 September –Projek-projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas bagi sejumlah 8,354 buah sekolah di seluruh negara telah siap lebih 90% dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan depan.

Menurut kenyataan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdan Menteri (ICU-JPM) projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM630.77 juta, telah dimulakan pada pertengahan Julai lalu.

“Berdasarkan status sehingga 22 September 2023, sebanyak 7,544 (90.3 peratus) projek sedang dalam proses penyelenggaraan dan siap dilaksanakan. Seterusnya, baki sebanyak 810 (9.7 peratus) projek sedang dalam peringkat akhir perolehan,” jelas kenyataan itu.


(Tandas SK Tanah Melintang yang siap diselenggara/Foto ICU JPM)

Ke semua projek itu dilaksanakan secara kolaboratif antara ICU JPM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pejabat-pejabat daerah di seluruh Malaysia.

Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan bagi 5,092,170 orang pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

Selain itu laporan pencapaian prestasi projek telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil. 2 Tahun 2023 dipengerusikan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan penyediaan prasarana dan perkhidmatan terbaik serta dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat. Hasrat ini adalah selaras dengan agenda kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan sama.


(Tandas SJKC Chung Hwa Kenaling/Foto ICU JPM)

Media Baharu