fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas banjir di Marudi berkurangan

Banjir di Marudi

MARUDI, 21 September – Jumlah penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi setakat pukul 4.00 petang berkurangan kepada 16 orang daripada 17 orang, susulan seorang pelajar perempuan dari Kampung Dagang keluar dari PPS kerana kembali ke asrama SMK Marudi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Mirwan Shah Masri berkata, setakat ini, PPS tersebut menempatkan seramai 16 orang daripada lima keluarga, melibatkan penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Padang Kerbau (Tepi Sungai), Kampung Cina, Kampung Dagang dan Kampung Narum.

Beliau berkata secara keseluruhan banjir di tiga daerah melibatkan 61 kawasan dengan seramai 4,904 penduduk terjejas banjir.

Di Daerah Marudi, 35 kawasan terjejas melibatkan 3,087 orang dengan 1,858 pek bantuan telah diagihkan.

Sementara itu, di daerah Beluru pula, 25 kawasan membabitkan 1,791 orang, manakala di Daerah Telang Usan, satu kawasan terjejas melibatkan 26 orang dengan jumlah bantuan yang telah diagihkan sebanyak 2,546 pek.

Setakat ini, paras air banjir menunjukkan penurunan kira-kira 0.3 meter, manakala keadaan adalah terkawal dan selamat.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Fazwan Yunus yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong turut hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa di PPS.

ROSLINA BINTI DIN