fb fb fb fb fb

OP PUU: Lebih 40,000 notis advokasi dikeluarkan JSPT Kuala Lumpur

Foto JSPT Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 September - Sebanyak 42,288 notis advokasi telah dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafi (JSPT) Kuala Lumpur dalam Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, penunggang motosikal mencatatkan jumlah paling ramai menerima notis advokasi sepanjang lima hari pelaksanaan OP PUU di Kuala Lumpur bermula 16 hingga 20 September lalu.

“Daripada jumlah itu, penunggang motosikal menerima 19,672 notis, manakala pemandu kereta mencatatkan 18,058 notis.

"Manakala selebihnya melibatkan van (821), lori (576), teksi (955) serta pejalan kaki (2,206)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesalahan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 18,169 notis, diikuti kesalahan abai isyarat lalu lintas hampir 10,000 notis dan tidak menggunakan lintasan pejalan kaki sebanyak 4,186 notis.

"Selain itu, turut direkodkan ialah kesalahan berhenti di petak kuning, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak memakai topi keledar, serta tidak memakai tali pinggang keledar," katanya.

Polis Kuala Lumpur menegaskan advokasi ini dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan serta mengurangkan risiko kemalangan di ibu negara.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN