fb fb fb fb fb

UiTM terajui agenda ECIC 2025

Foto UiTM

SHAH ALAM, 21 September -Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengorak langkah besar dalam agenda hijau global apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Green Growth Asia Foundation (GGAF) pada Persidangan Antarabangsa Eco-Campus 2025 (ECIC 2025).

Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen UiTM untuk tampil sebagai peneraju serantau dalam kelestarian.

Katanya, kerjasama itu akan memberi impak besar kepada 34 universiti ahli UNINET di rantau IMT-GT yang memfokuskan pembangunan Eco-Campus, perkongsian ilmu, inovasi hijau dan rangkaian pendidikan yang menekankan kelestarian.

"UiTM mahu berdiri di barisan hadapan, memimpin perubahan. Melalui Eco-Campus, kita menyediakan ekosistem pendidikan tinggi yang hijau, lestari, dan inklusif bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk Asia Tenggara," katanya.

Majlis pertukaran MoU oleh Prof. Datuk Dr. Shahrin yang juga Pengerusi Rangkaian Universiti Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT UNINET), bersama Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad dari GGAF yang berlangsung sempena Persidangan Antarabangsa Eco-Campus 2025 (ECIC 2025) dan pelancaran rasmi Eco-Campus Malaysia di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur pada 18 September lalu.

Majlis bersejarah itu disaksikan oleh YAM Tengku Puteri Raja Tengku Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah, mewakili Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dengan termeterainya MoU berkenaan, UiTM sekali lagi membuktikan keupayaannya bukan sekadar menara ilmu, malah menjadi peneraju kelestarian global, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.

TETITIA YUSOFF