ARAU, 1 Disember-Banjir yang melanda Perlis mengakibatkan beberapa kawasan sawah padi seluas 4,333.48 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) terjejas.
Menurut Exco Pertanian Negeri Perlis, Razali Saad, ketika ini pihak MADA dan kerajaan negeri serta Pertubuhan Peladang Kawasan sedang membuat bancian bersama pesawah terlibat bagi mendapatkan laporan terperinci kerosakan tanaman padi.
Jumlah sebenar kawasan padi yang terjejas hanya akan dapat diketahui apabila banjir surut sepenuhnya memandangkan ketika ini kebanyakan kawasan terjejas masih ditakungi air.
Selain itu, Kerajaan negeri dan MADA akan mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang berkaitan kawasan tanaman padi yang sering ditenggelami banjir agar masalah berlaku dapat diatasi.
"Agensi-agensi di bawah pertanian ini seperti JPS, MADA dan juga LPP untuk kita duduk bersama dalam masa terdekat untuk kita mencari laporan bagaimana untuk mengatasi kemungkinan besar di masa akan datang.
"Kita kena ambil langkah lah kerana nak menyelesaikan ini bukanlah satu perkara yang mudah, yang cepat kerana memerlukan peruntukan yang besar saya rasa. walaubagaimanapun kita bagi pihak kerajaan negeri tidak akan berdiam diri", katanya demikian ketika meninjau kawasan ditenggelami banjir bersama pesawah terlibat sekitar Kampung Banat dan Kampung Alor Redis, di sini.