KANGAR, 1 Disember- Situasi banjir yang melanda Perlis sejak Rabu lalu kini semakin pulih.
Sehingga pukul 5.00 petang tadi, jumlah penduduk yang terjejas banjir terus berkurangan kepada hanya 75 orang daripada 18 keluarga berbanding 186 orang daripada 51 keluarga pada pukul 3.00 petang tadi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa dalam kemaskini terkini memaklumkan, hanya sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan Arau yang menempatkan 75 penduduk daripada 18 keluarga.
Manakala PPS Dewan Warisan telah ditutup secara rasmi kira-kira pukul 3.30 petang tadi selepas banjir surut sepenuhnya di sembilan buah kampung sekitar Kangar.
Keadaan cuaca yang kembali cerah membolehkan lebih ramai penduduk terjejas banjir pulang ke kediaman masing-masing.