KUALA LUMPUR, 1 Disember - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menambah peruntukan sejumlah RM2 juta bagi membantu penduduk terjejas banjir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia merupakan penambahan daripada RM5 juta bantuan MAIWP yang diumumkannya semalam menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7 juta.
"Semalam saya umumkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir RM5 juta, hari ini saya nak maklumkan ada tambahan memandangkan keadaan makin teruk. Jadi MAIWP bersetuju menambah RM2 juta lagi, menjadikannya RM7 juta.
"Dan Insha-Allah Yayasan Takwa juga akan menyumbang lagi RM5 juta menjadikan keseluruhan saya umumkan pada hari ini menjadikan RM12 juta disalurkan untuk membantu meringankan beban penduduk terjejas banjir," kata Dr. Na'im.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Soul Journey Belia Asnaf bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).
Katanya, bantuan itu akan disalurkan kepada Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)- Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) serta majlis agama Islam negeri-negeri yang terkesan dengan musibah banjir.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjaga keselamatan diri ketika bencana dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan demi meraih populariti hantaran di media sosial.