PADANG TERAP, 30 September – Kejadian banjir kilat yang meragut nyawa dua beranak di Kampung Tanjung, di sini semalam, meninggalkan kesan mendalam buat penduduk kampung.
Walaupun cuaca semakin baik hari ini, mereka masih dibelenggu kebimbangan dan trauma, terutama setelah melalui pengalaman meredah banjir dalam suasana gelap.
Nor Fishah Md Daud, 41, yang terjejas dalam kejadian itu menceritakan bagaimana beliau bersama suami, Indra Yusriza Mohd Zaki, 42, dan tiga anak mereka terpaksa meredah air setinggi hampir satu meter untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, suasana pada mulanya tenang bertukar kecoh apabila penduduk kampung berpusu-pusu meninggalkan kediaman masing-masing sekitar tengah malam kerana air naik dengan cepat.
"Memang trauma sampai tak boleh tidur, nak tidur lelap pun rasa macam duduk dalam air, hati rasa berombak-ombak seriau takut air naik lagi hidup tak tenang," kata Nor Fishah yang baru sebulan berpindah ke rumah baru di kampung itu.
Dia juga sempat meletakkan barang-barang rumah, termasuk pakaian pelanggan yang dijahitnya, ke tempat lebih tinggi sebelum meninggalkan rumah.
Nor Fishah merupakan antara 54 penduduk, membabitkan 18 keluarga dari Kampung Tanjung dan Kampung Pisang, yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Aisyah, Kampung Tanjung.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, turun padang menghulurkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.
"Kita daripada hari Khamis bila dapat berita hujan lebat, kita sudah bersedia dengan pasukan pengurusan banjir. Kami telah sediakan bakul makanan dan mengarahkan Pemuda UMNO untuk membantu bersama NADMA," katanya ditemui RTM semalam.
Mahdzir turut menasihatkan penduduk, khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai, agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat dua hari lalu.