PUTRAJAYA, 30 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Belanjawan 2025 yang akan dibentang pada 18 Oktober depan akan terus menyantuni golongan rentan selari konsep ekonomi MADANI, selain segala bentuk ketirisan termasuk subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya, harus dihentikan.
Tegasnya, perkara itu penting bagi memastikan agihan dana yang lebih adil kepada golongan sasar.
Beliau berkata, seperti contoh dalam bidang pendidikan, ada anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.
"Sekadar yang saya faham, majoriti beri manfaat kepada golongan elit seperti orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha terkenal yang (anak-anak mereka) dihantar ke sekolah-sekolah terbaik, dibiaya kerajaan dengan kadar tinggi dan ini tidak munasabah, tidak adil.
"Sepatutnya anak orang kaya itu (yang) dihantar ke Fakulti Kejuruteraan, (sama ada) Melayu, Cina atau Iban - dia bayarlah. Dengan cara itu kita boleh menampung kekurangan, kalau tidak.. subsidi ini berterusan," katanya.
Beliau berkata dalam ucapan pada perasmian Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan sebelum merasmikannya diiringi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Putrajaya hari ini.
Jelas Perdana Menteri lagi, kerajaan juga dalam cadangan untuk mewujudkan sebuah pengurusan yang dapat mengukur dan menilai serta menggabungkan beberapa agensi bagi pengurusan kemiskinan dalam negara.
Simposium Kebangsaan 2024 Menoktah Kemiskinan yang dianjurkan itu adalah sebagai wacana bagi menetapkan hala tuju baharu, strategi dan penyelarasan pelaksanaan inisiatif pembasmian kemiskinan di negara ini dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dari sektor kerajaan, swasta dan organisasi masyarakat sivil.
Keberhasilan simposium berkenaan juga akan dijadikan input bagi penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi.
Sementara itu, lima ikhtiar kerajaan dibentangkan dalam Simposium Kebangsaan 2024 demi terus menoktahkan kemiskinan dalam negara.
Lima ikhtiar tersebut, memantapkan pengukuran, mereformasi dana menoktah kemiskinan, menyepadukan data, merubah sikap dan pemikiran serta memperkukuh tenggang menoktah kemiskinan.