KANGAR, 30 September- GIATMARA Perlis berjaya merangkul dua pingat emas, satu perak serta dua anugerah khas juri pada Ekspo TVET@KKDW yang berlangsung di MITC, Ayer Keroh, Melaka pada 27 hingga 29 September lalu.
Pingat emas diperolehi menerusi inovasi Shower Heater Mudah Alih dan Absorber Installer, manakala pingat perak menerusi Interlaced Lover dan dua anugerah khas juri menerusi inovasi Instaloka OOTD dan Hiasan Pelamin.
Menurut Pengarah GIATMARA Negeri, Harun Radzi dalam kenyataannya, secara keseluruhannya GIATMARA Perlis mengetengahkan sebanyak 11 produk inovasi yang dihasilkan 14 kakitangan dan 20 pelatih bagi menyertai ekspo TVET kali ini.
Beliau berkata, kejayaan memenangi beberapa kategori dipertandingkan membuktikan hasil inovasi para pelajar mampu menggarapkan kombinasi ilmu pengetahuan serta latihan kemahiran untuk manfaat masyarakat.
"Selain itu, pencapaian yang diperolehi ini juga membuktikan komitmen GIATMARA Perlis dalam usaha merealisasikan visi menjadi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepanjang hayat yang terunggul dan diiktiraf sama ada diperingkat negeri, negara serta antarabangsa.
"Penglibatan GIATMARA Perlis dalam ekspo yang dilaksanakan secara tahunan ini mampu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa serta pelajar mengenai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya masa depan," katanya.
Ketika ini terdapat tiga pusat GIATMARA beroperasi di Perlis iaitu masing sebuah di Arau, Kangar dan Padang Besar yang menawarkan latihan TVET dalam 12 bidang kemahiran iaitu 11 kursus asas dan satu kursus lanjutan.