LABUAN, 30 September – Borneo Arts Festival (BAF) 2024 melabuhkan tirainya malam tadi selepas tiga hari berlangsung, menyaksikan lebih 1,000 peserta dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan Brunei.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menyifatkan BAF 2024 jambatan hubungan antarabangsa yang mempamerkan warisan dan identiti budaya pelbagai etnik di kepulauan Borneo.
"Saya nampak ini adalah tahap antarabangsa. Walaupun tarian mempunyai unsur-unsur etnik, ia juga dimuatkan dengan unsur-unsur moden yang sangat dinamik.
"Saya rasa ini satu produk yang perlu diteruskan dan pada masa akan datang boleh diperbaiki," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi BAF di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, malam tadi.
Borneo Arts Festival pertama kali dianjurkan pada tahun 2011. Namun, terdapat pengecualian pada tahun 2020 dan 2021 disebabkan pandemik COVID-19.
Festival ini kemudiannya dianjurkan semula pada tahun 2022 dan diteruskan sehingga edisi 2024.
Tiga acara utama yang diketengahkan dalam festival ini adalah Pertandingan Tarian Kreatif Borneo, Pertandingan Tarian Tingkah Geruh, dan Pertandingan Fesyen Kostum Nasional Kontemporari.
Beliau turut menambah bahawa BAF boleh diangkat sebagai elemen penting dalam membina kerjasama serantau, bukan sahaja melibatkan negara-negara di bawah BIMP-EAGA, tetapi juga seluruh negara-negara ASEAN.
Dalam majlis yang sama, Dr. Zaliha turut melancarkan logo 'Pearl of Borneo' yang melambangkan kekuatan sektor pelancongan di pulau tersebut.
Kumpulan Arthums pula dinobatkan sebagai Pemenang Titanium bagi Pertandingan Tarian Kreatif Borneo dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM15,000.