
PUTRAJAYA, 3 November – Tahap kesiapsiagaan dan pemantauan berterusan perlu dipergiat menerusi pelaksanaan pemeriksaan mengejut atau ‘spot check’ terhadap sistem perparitan dan kerja pembersihan di Kuala Lumpur.
- Kerjasama rondaan dan pemeriksaan pembersihan menyeluruh bagi memastikan saliran berfungsi dan kawasan panas terus dipantau.
- Kekerapan pembersihan dan pembuangan kelodak Sungai Toba ditingkatkan daripada dua kepada enam kali setahun bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
- SOP dinilai semula mengikut corak cuaca baru; pembangunan bukit diketatkan dan ruang hijau dikekalkan untuk meningkatkan serapan air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, pemeriksaan tersebut penting bagi memastikan sistem perparitan dan saliran sentiasa berfungsi dengan baik, sekali gus mengurangkan risiko kejadian banjir kilat, khususnya ketika musim hujan.
“Kita perlu memastikan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dengan teliti dan menyeluruh. Walaupun jalan kelihatan bersih, namun lubang-lubang saliran mungkin masih tersumbat.
“Oleh itu, kumpulan yang terlibat perlu aktif menjalankan rondaan bagi memastikan kerja pembersihan dilaksanakan dengan sempurna. Selain itu, kawasan panas (hotspot) akan terus dipantau bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.
Hannah berkata demikian selepas merasmikan Community-Based Eco Recycling Hub (COB3R) di Presint 9, di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, pejabat cawangan Parlimen masing-masing turut diaktifkan dengan pasukan yang menjalankan rondaan serta menyalurkan laporan terkini mengenai keadaan kawasan berisiko banjir kilat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pemantauan aktif itu penting bagi memastikan lokasi panas banjir kilat yang berjaya dikurangkan daripada 30 kepada 14 dalam tempoh tiga tahun lepas tidak meningkat semula.
Sementara itu, kekerapan kerja pembersihan dan pembuangan kelodak Sungai Toba turut ditingkatkan daripada dua kepada enam kali setahun sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan risiko banjir kilat.
Pada masa sama, perubahan corak cuaca dan kejadian hujan lebat luar biasa memerlukan pihak berkuasa menilai semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Tegas Hannah juga, pembangunan di kawasan bukit perlu dikawal dengan ketat bagi memastikan keupayaan semula jadi kawasan berkenaan menampung air hujan tidak terjejas termasuk memastikan kawasan lapang dan hijau dikekalkan bagi membantu menyerap air hujan.