fb fb fb fb fb

Banjir kilat: 150 penduduk terjejas di Perak, enam PPS dibuka

Seramai 150 penduduk daripada 52 keluarga dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir kilat yang melanda tiga daerah di Perak, tengah malam tadi / Foto APM Perak

IPOH, 17 Mei - Seramai 150 penduduk daripada 52 keluarga dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir kilat yang melanda tiga daerah di Perak, tengah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan daerah terjejas antaranya Hilir Perak, Taiping dan Kuala Kangsar.

"Sebanyak empat PPS dibuka di daerah Taiping iaitu di Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Orang Ramai Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Termelok, menempatkan 78 penduduk dari 30 keluarga dari Kg Sungai Baru, Kg Dato Sagor, Kg Senduk Seberang, Kg Batu 8, Kg Temerlok dan Kg Nibong," menurut kenyataan itu.

Sebuah PPS dibuka di daerah Hilir Perak iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak, menempatkan 42 penduduk dari 10 keluarga dari Bt 9 Jalan Changkat Jong.

Di daerah Kuala Kangsar, satu PPS dibuka di SK Periang, yang menempatkan 30 penduduk dari 12 keluarga dari Kg Periang.

Dalam pada itu, sekretariat turut memaklumkan susulan hujan lebat yang berterusan malam tadi, paras air di dua sungai iaitu Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar naik dan berada pada paras berjaga-jaga.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN