fb fb fb fb fb

Banjir: Kelantan meningkat, Terengganu menurun dan Pahang kekal

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Angka keseluruhan penduduk terjejas banjir menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 1,658 orang malam ini berbanding 1,604 petang tadi.

Menurut Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Terengganu merekodkan penurunan iaitu 994 orang daripada 292 keluarga di 17 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 8.00 malam tadi.

Daerah Hulu Terengganu mencatatkan 183 penduduk, diikuti Setiu (182), Dungun (376) dan Besut (253).

Kelantan pula menunjukkan peningkatan iaitu 504 daripada 161 keluarga di tujuh PPS dengan 350 orang terjejas di daerah Pasir Puteh, manakala Kuala Krai (89), Tanah Merah (50) dan Machang (15).

Sementara Pahang kekal 160 orang dengan 70 keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS dekat daerah Kuantan.

Data NADMA berkenaan turut menunjukkan satu kematian akibat bencana banjir di daerah terbabit semalam.

SITI AISHAH BINTI MD ISA