fb fb fb fb fb

RCI Batu Puteh bolehkan siasatan lanjut - Azalina

Azalina Othman Said (kanan)

DONGGONGON, 25 Januari- Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan membolehkan siasatan lebih lanjut dapat dilakukan bagi mengetahui hal sebenar yang berlaku dalam isu berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan RCI itu juga akan membantu kerajaan dalam proses dan prosedur berkaitan kedaulatan negara.

"Isu kedaulatan tidak boleh diputuskan oleh seorang sahaja. Isu kedaulatan tidak boleh ada kesilapan.

"Apa yang berlaku di Sulu adalah sesuatu yang kita kena belajar. Kita tidak boleh mempunyai kesilapan mengenai kedaulatan.

"Kedaulatan itu adalah mengenai sempadan, pulau (dan pelbagai lagi). Kedaulatan itu tentang banyak perkara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program ‘Justice On Wheels’ di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, di sini, hari ini.

Tambah beliau, RCI juga akan membantu kerajaan untuk mencari proses dan prosedur serta menentukan agensi mana yang bertanggungjawab dalam perkara melibatkan kedaulatan negara.

Ujarnya, walaupun Pasukan Petugas Khas telah mempunyai keputusan berhubung perkara itu, namun ia masih di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan belum didedahkan kepada umum.

RCI tersebut disifatkan lebih terbuka dan rakyat perlu memahami geopolitik negara serta apa yang berlaku dengan kes Batu Puteh ketika dikendalikan oleh kerajaan terdahulu adalah tidak boleh berlaku ke atas pulau-pulau lain bawah kawalan negeri atau persekutuan.

Justeru, Azalina berkata, kementeriannya akan membentangkan Akta Imuniti Negara pada persidangan Parlimen akan datang bagi memastikan negara mempunyai perlindungan daripada sebarang ancaman terhadap kedaulatan negara.

Semalam, mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.

Setiausaha Jemaah Menteri, yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

SITI AISHAH BINTI MD ISA