fb fb fb fb fb

Gagal pamer tanda harga, premis perniagaan dikompaun RM50,000

KPDN menjalankan pemeriksaan ke atas premis terlibat

SANDAKAN, 25 Januari- Sebuah premis perniagaan yang beroperasi di sebuah hospital di Sandakan dikenakan kompaun sehingga RM50,000 kerana gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John menerusi kenyataan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemilik kedai berkenaan gagal meletakkan tanda harga bagi 30 unit makanan ringan yang dijual.

Menurut Azdy, pemeriksaan ke atas premis dibuat hasil aduan orang ramai mengenai harga barangan dan kemudahan mengecas alat komunikasi yang disediakan untuk pelanggan.

Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan semua makanan ringan pelbagai perisa berkenaan disita.

KPDN turut menasihati pemilik premis agar memberi makluman atau meletakkan notis yang jelas di tempat yang mudah dilihat pengguna berhubung kemudahan serta kadar bayaran mengecas alat komunikasi yang disediakan di kedai berkenaan.

ROSLINA BINTI DIN