fb fb fb fb fb

Banjir Kedah beransur pulih, 91 penduduk berlindung di PPS

Timbalan Pengarah APM Negeri Kedah, Mej. (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain turun padang ke PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena

POKOK SENA, 4 Oktober - Keadaan banjir di Kedah semakin pulih dengan jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pokok Sena terus berkurangan petang ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, setakat pukul 4 petang, seramai 91 penduduk daripada 26 keluarga masih berada di PPS berkenaan berbanding 200 penduduk pagi tadi.

“Seramai 109 penduduk daripada 24 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula tengah hari tadi selepas kediaman mereka pulih sepenuhnya daripada banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, baki 91 penduduk terjejas banjir masih ditempatkan di PPS berkenaan kerana rumah dan laluan ke kediaman mereka masih ditenggelami air.

Menurutnya, kawasan yang masih terjejas ialah Taman Puteri dan Kampung Durian di Mukim Gajah Mati.

GRACE AISYAH KEDAYAN