GUA MUSANG, 4 Oktober – Lebih 10,000 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara yang masih berstatus kontrak mengharapkan penambahbaikan skim perjawatan dalam Belanjawan 2026.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, pihaknya telah lama memperjuangkan nasib kakitangan, termasuk guru yang berkhidmat antara 15 hingga 40 tahun, agar dapat diserap ke skim jawatan tetap bercarum.
Menurutnya, KEMAS juga telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Ada yang lebih 15 tahun dalam perkhidmatan, jadi kita pohon mereka diserap kepada jawatan tetap. Kami berharap cadangan ini dapat dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 10 Oktober nanti.
"Namun, ia terserah kepada kerajaan untuk melihat kesesuaian serta kaedah pelaksanaannya. Kita harap ada berita gembira,” katanya demikian ketika menghadiri Program Santunan Desa Kemas Negeri Kelantan dan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) di Dewan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di sini.
Sebelum ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan harapan agar cadangan menyerapkan jawatan kontrak Kemas kepada status tetap disenaraikan dalam Belanjawan 2026.
Beliau menjelaskan cadangan itu tidak melibatkan penjawatan baharu atau perbelanjaan tambahan, sebaliknya mampu menjadi penanda aras dalam menyelesaikan isu jawatan kontrak di jabatan dan agensi kerajaan lain.