JOHOR, 2 Februari- Banjir di Johor terus merekodkan trend penurunan selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balairaya Kampung Perpat, Kota Tinggi ditutup pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
Angka penduduk terjejas banjir kini berkurang kepada 936 orang melibatkan daerah Batu Pahat dan Segamat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan, seramai 873 penduduk terjejas di Batu Pahat masih berlindung di enam PPS.
"Di Segamat pula, 63 penduduk terjejas ditempatkan di tiga PPS setakat waktu tersebut," katanya.
Dalam pada itu, bacaan air di Sungai Batu Pahat masih berada di paras bahaya iaitu setinggi 18.75 meter.
Sungai Muar pula pada bacaan amaran iaitu 8.58 meter setakat tengah hari tadi.
(Foto BERNAMA)