KUALA TERENGGANU, 29 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memberi amaran kemungkinan banjir di kawasan hilir akan bertambah buruk akibat fenomena air pasang yang dijangka berlaku mulai pukul 9.00 malam ini hingga Ahad.
Keadaan ini boleh menjadi lebih kritikal sekiranya air pasang bertembung dengan limpahan air sungai dan hujan lebat setempat.
Kawasan rendah berhampiran hilir sungai serta pesisir pantai berisiko tinggi terjejas, membabitkan 41 kampung dan kawasan perumahan di seluruh negeri.
Pengarah JPS Terengganu Ir. Ts. Osman Abdullah mengingatkan penduduk supaya berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan risiko keselamatan.
"Yang bimbang adalah pertembunganlah. Apabila air itu mula turun dan hujan lebat setempat maka kawasan-kawasan rendah, kalau di Kuala Terengganu ini biasanya tebing utama yang selalu berlaku banjir lah," kata Osman.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika meninjau operasi pemantauan banjir di Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu, Pusat Niaga Paya Keladi Kuala Terengganu, di sini.