fb fb fb fb fb

Banjir di Sabah, penduduk dipindahkan meningkat 536 orang di lima PPS


KOTA MARUDU, 1 Januari- Jumlah penduduk yang dipindahkan di Sabah meningkat kepada 536 orang melibatkan 182 keluarga di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah, setakat 8 malam ini.

Menurut infografik Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sabah, jumlah penduduk dipindahkan di Kota Marudu kekal 504 orang daripada 167 keluarga di dua PPS iaitu Dewan SK Teritipan dan Dewan SMK Tandek.

Manakala di Paitan dan Sugut, hujan berterusan sejak 9 pagi tadi menyebabkan paras air di kawasan rendah meningkat.

Penduduk kampung bertindak pantas berpindah ke PPS disediakan Jabatan Pengurusan Bencana (JPBD) Paitan, sekaligus menyaksikan 32 penduduk daripada tujuh keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan iaitu Dewan SMK Pamol dan Dewan Kg. Binsulung.

Sementara di Beluran, 30 penduduk melibatkan lapan keluarga dipindahkan di PPS Dewan Kg. Balaban.

Banjir turut dilaporkan di daerah Lahad Datu namun tiada PPS dibuka setakat ini.

Di Kinabatangan pula, kejadian tanah runtuh dilaporkan di Kg. Segaliud Seberang menyebabkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bertindak memasang barricade tape dan memindahkan seorang mangsa ke rumah keluarganya kerana didapati rumah terbabit tidak selamat didiami buat masa ini.

Media Baharu