Kuala Lumpur, 2 Januari - Beberapa persatuan agensi pelancongan meminta kerajaan agar mempertimbang semula keputusan menangguhkan perjalanan rakyat negara ini untuk mengerjakan ibadah umrah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, penangguhan itu akan menyebabkan bakal jemaah umrah yang telah membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan menanggung kerugian kewangan besar.
"Sebelum dapat visa umrah, agensi perlu membuat pembayaran melalui sistem e-wallet yang disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, selepas bayar untuk kos pengangkutan bas dan hotel barulah keluar visa umrah. Kalau ada berlaku penundaan di pihak Malaysia maka amaun yang telah dibayar tidak akan dikembalikan, serta agensi pelancongan tidak boleh membuat pembayaran semula kepada jemaah. Jadi diharap apa sahaja kerugian ditanggung oleh jemaah dan agensi wajar diambil kira," katanya pada sidang media di ibu negara.
Sementara itu, Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, BUMITRA melaporkan anggaran kos kerugian yang perlu ditanggung jemaah yang telah berdaftar susulan penundaan yang diumumkan kerajaan semalam adalah sebanyak RM210 juta. - Bernama