fb fb fb fb fb

Perkembangan banjir di Pahang dan Kelantan


KUALA LUMPUR, 2 Januari- Setakat jam 11 malam tadi, sebanyak 40 buah pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan penduduk terjejas banjir di Pahang masih dibuka.

Menurut Info Bencana JKM, kesemua PPS berkenaan menempatkan seramai 1 ribu 466 orang daripada 451 buah keluarga.

Jumlah itu berkurangan berbanding 2 ribu 112 orang daripada 657 buah keluarga pada 8 malam.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan sebanyak 5 daerah dilanda banjir gelombang kedua membabitkan daerah Lipis, Maran, Bera, Raub dan Rompin.

Sementara itu di Kelantan, situasi banjir menunjukkan penurunan apabila hanya lima PPS dibuka membabitkan dua daerah di negeri itu.

Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan setakat pukul 11 malam adalah seramai 308 orang daripada 109 keluarga.

Menurut portal info banjir JKM, 4 PPS dibuka di daerah Kuala Krai membabitkan 129 penduduk terjejas banjir daripada 33 keluarga manakala daerah Jeli kekal satu PPS menempatkan 179 penduduk terjejas banjir daripada 79 keluarga.

Sementara itu, JPS melaporkan empat sungai utama mencatatkan bacaan air melebihi paras Amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah, Sungai Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Rantau panjang pasir Mas.


Media Baharu